Bernama - Aerobus International cadang tawar khidmat aerobus di Pulau Pinang

 

ARKIB : 12/11/2008 Utusan

 

PULAU PINANG 11 Nov. - Aerobus International Inc., pereka dan pengendali sistem pengangkutan aerobus telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyediakan perkhidmatan itu di seluruh negeri itu.

Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Aerobus Malaysia, Datuk Aripin Mokhtar berkata, sistem berkenaan yang jauh lebih murah dan cekap berbanding sistem pengangkutan aliran ringan (LRT) atau monorel, dilihat boleh menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Katanya, aerobus yang menggunakan gerabak penumpang seperti LRT atau monorel dan bergerak menggunakan rel kabel yang tergantung di atas tiang seperti kereta kabel, bukan sahaja menjimatkan kos penyediaan perkhidmatan itu malahan bebas dari pencemaran, tidak bising, selamat dan selesa.

"Sistem pengangkutan aerobus boleh digunakan di celah-celah bangunan, boleh disesuaikan untuk jalan yang berliku atau kawasan berbukit dan ia berbeza dari monorel yang memerlukan tanah yang luas, kos yang lebih tinggi serta tidak sesuai untuk jajaran berbukit dan berliku," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini.

Beliau berkata, sistem pengangkutan yang bergerak di kawasan setinggi 40 meter dari aras tanah itu boleh menjadi daya tarikan pelancongan di negeri ini.

Katanya, sistem itu sedang dipasang merentasi sebuah tasik di Weihai, China ketika ini dan dijangka siap pada 2010.

"Ia merupakan aerobus generasi kelima yang dikeluarkan oleh syarikat yang beribu pejabat di Houston, Amerika Syarikat itu dan sebelum ini, sistem berkenaan pernah diguna pakai di Jerman dan Kanada," katanya.

Menurutnya, aerobus yang mempunyai 12 gerabak boleh membawa 20,000 penumpang untuk laluan sehala dalam masa sejam dan bergerak dengan kelajuan antara 70 dan 100 kilometer sejam.

Katanya, pembinaan sistem itu akan ditanggung sepenuhnya syarikat menerusi sistem pembiayaan yang akan ditentukan kelak tanpa melibatkan sebarang kos di pihak kerajaan negeri.

"Apa yang perlu dalam pengangkutan ini ialah pemasangan tiang-tiang untuk meregangkan kabel dan aerobus boleh dibina di atas Jambatan Pulau Pinang tanpa mengganggu aliran kenderaan di bawahnya," katanya.

 

Aerobus...